Thailand catat 279 kes, 2 maut

BANGKOK 1 Jan – Thailand mencatatkan 279 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian menjadikan jumlah keseluruhan 7,163 kes dengan 63 kematian setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentabiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada jumlah kes baharu itu, 273 adalah jangkitan tempatan manakala enam dikesan di pusat kuarantin alternatif negara (ASQ).

Beliau berkata seorang lelaki berumur 44 tahun yang mengunjungi sebuah pusat hiburan di Bangkok didapati mengalami gejala Covid-19 dan meninggal dunia di sebuah hospital semalam.

Katanya seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dari Wilayah Tak yang menyeberangi sempadan dari Myanmar secara haram pada 29 November lepas telah mengalami masalah kesihatan dan meninggal dunia di sebuah hospital pada 10 malam (waktu tempatan) semalam.

Thaweesilp berkata penularan terkini pandemik itu di Thailand membabitkan 53 wilayah termasuk enam yang berada di bawah kawasan kawalan tinggi iaitu Samut Sakhon yang mempunyai 1,739 kes diikuti Rayong (319), Chonburi (207), Bangkok (180), Nakhon Pathom (60) dan Samut Prakan (57).

Sementara itu semua institusi pendidikan di ibu negara Thailand akan ditutup mulai 4 hingga 17 Januari.

Pada masa yang sama, lebih banyak venue awam termasuk pusat hiburan, sukan dan perjudian ditutup sehingga diberitahu kelak, dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) Pongsakorn Kwanmuang berkata institusi pendidikan termasuk universiti, sekolah, pusat tuisyen, prasekolah dan taska yang diarahkan tutup sehingga 4 Januari akan dilanjutkan sehingga 17 Januari.

Beliau berkata pusat hiburan termasuk bar, kelab malam, salun tatu dan rumah urut serta venue rekreasi seperti taman air, taman hiburan, taman permainan dan tempat perjudian akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak. 

“Terdapat kes Covid-19 yang dikaitkan dengan pelajar dan perniagaan lain. Oleh itu, Jawatankuasa Penyakit Berjangkit BMA telah bersetuju mengetatkan sekatan dalam usaha menghentikan penularan jangkitan,” katanya

Bagaimanapun, pasar raya akan tetap dibuka buat masa ini.

Related posts

Leave a Comment