KUALA LUMPUR 22 Julai – Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak memberi fokus kepada ceramah mega pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kelantan, 17 Ogos depan.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak seperti beberapa siri PRK lalu, gabungan PH-BN sebaliknya akan menggunakan strategi sasaran berkelompok terhadap pengundi semasa kempen diadakan.
“Dalam mesyuarat sekretariat, jentera pilihan raya kali ini tidak mahu fokus kepada ceramah mega seperti beberapa siri PRK lalu. Kita tidak mahu fokus kepada ceramah umum tetapi akan menumpukan kepada sasaran berkelompok pengundi.
Kita akan kenal pasti setiap ahli dan penyokong kita kerana kita ada penyokong BN dan PH, jadi kita mahu jentera menumpu perhatian kepada semua pengundi di Nenggiri tanpa seorang pun tertinggal,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Penyelarasan BN-PH bagi PRK DUN Nenggiri, Kelantan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub dan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.
Asyraf Wajdi menjelaskan, langkah sasaran berkelompok pengundi diharap mencerahkan peluang kemenangan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
“Jentera pilihan raya BN akan dilancarkan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Julai ini,” katanya.
Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri pada 13 Jun lalu susulan pengguguran keahlian bekas wakil rakyatnya, Mohd Azizi Abu Naim, daripada Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
Nnnn
