Mansuh langkah pengurusan selamat

SINGAPURA 8 Okt. – Kementerian Kesihatan (MoH) mengumumkan semua langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) akan dimansuhkan mulai Isnin ini, 10 Oktober.

Berikutan itu tiada sekatan akan dikenakan di pusat hiburan malam, pusat makanan dan minuman, pusat penjaja serta acara-acara dengan lebih 500 peserta.

“Kita sudah belajar untuk hidup bersama virus Covid-19, mengatasi beberapa gelombang jangkitan dan menarik balik langkah-langkah pengurusan selamat secara berperingkat.

“Sedang kita kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa, kita akan menarik balik semua langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi mulai 10 Oktober 2022,” kata MoH.

Menurut MoH, langkah-langkah ini membantu langkah untuk membuka semula sektor berkenaan dengan selamat.

Bagaimanapun MoH mengingatkan, walaupun langkah tersebut dimansuhkan, golongan yang tidak lengkap divaksin akan terus berdepan risiko lebih tinggi menghidap penyakit serius.

“Kita bagaimanapun menggesa individu berkenaan supaya tampil mendapatkan vaksinasi, atau terus mengambil langkah-langkah berjaga dan mengurangkan interaksi dengan masyarakat untuk melindungi diri mereka.” katanya.

Kementerian itu juga mengingatkan masyarakat awam supaya terus berwaspada dan bersedia untuk bertindak balas sekiranya terdapat sebarang varian baharu yang berbahaya, walaupun kebanyakan langkah pengurusan selamat sudah dimansuhkan.

MoH akan mengambil langkah wajar sekiranya situasi semakin teruk, dengan notis yang singkat bagi melindungi masyarakat awam, pekerja jagaan kesihatan serta mengekalkan kapasiti hospital.

Related posts

Leave a Comment