PM Britain: 8 calon ke pusingan kedua

LONDON: Anggota Parlimen Parti Konservatif akan mengundi pada Rabu, 13 Julai untuk mengurangkan pilihan memilih antara lapan calon, yang berhasrat mengganti Boris Johnson selaku ketua parti serta Perdana Menteri Britain. 

Tiga daripada 11 calon awal bagi jawatan perdana menteri itu disingkirkan setelah gagal memperoleh sokongan yang mencukupi daripada rakan-rakan mereka.

Rishi Sunak, yang peletakan jawatannya minggu lalu selaku menteri kewangan membantu mempercepatkan kejatuhan Johnson, adalah calon pilihan dan meraih paling banyak sokongan terbuka dalam kalangan penggubal undang-undang.

Nadhim Zahawi, yang menggantikan Rishi Sunak, dan Menteri Luar Liz Truss merupakan antara baki calon yang bertanding. 

Tokoh-tokoh lain yang kurang dikenali, termasuk mantan Menteri bagi Wanita dan Kesamaan Kemi Badenoch dan Menteri Muda Perdagangan Penny Mordaunt, memenangi sokongan para penggubal undang-undang kanan lain dan popular dalam kalangan anggota parti itu.

Baki calon masing-masing perlu meraih 30 undi sokongan daripada parti seramai 359 anggota Parlimen itu untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala calon dengan undian paling rendah akan disingkirkan.

Related posts

Leave a Comment