Tiada jaminan bergabung pada PRU16

KOTA TINGGI 13 Julai – Timbalan Presiden UMNO , Mohamad Hasan berkata, tiada jaminan UMNO akan bersama dengan mana-mana gabungan politik untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau berkata, setakat ini UMNO tidak terikat dengan sebarang parti lain untuk bergabung pada PRU16 sebaliknya hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bagi menguruskan negara.

“Kita hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bagi menguruskan negara sebab kita perlukan kerajaan yang kuat dan mantap,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, FELDA Sungai Sayong di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, perkara itu boleh diputuskan ketika PRU16 nanti, berdasarkan kekuatan dan jumlah kerusi dimenangi UMNO.

“(Ada) yang kata kita akan gabung dengan Pakatan Harapan(PH), kita tengok PRU16, kalau (Parlimen) Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara boleh bagi (menang di kerusi itu), kita langgar saja…apa ada hal,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Luar berkata, UMNO perlu lebih memahami kehendak orang muda yang kini menjadi pengundi baharu dan banyak menentukan keputusan PRU.

“Pengundi 18 tahun jadikan (keputusan pilihan raya) tak tentu arah, takkan nak bantah undi 18, itu mengundur ke belakang namanya. Kebanyakan kawasan mempunyai 50 hingga 60 peratus pengundi berusia 40 tahun ke bawah.

“Jadi UMNO perlu memahami pemikiran dan berdamping dengan anak muda menerusi program yang mereka suka serta dapat menerimanya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment