PUTRAJAYA 17 Jun – Harga runcit diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026 manakala harga petrol RON97 dan RON95 kekal masing-masing pada RM4.35 dan RM3.72 seliter.
Dalam kenyataannya, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan penurunan harga diesel itu selaras dengan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Bagi harga petroleum bersubsidi, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Menurut MoF, penggunaan 200 liter RON95 pada harga tanpa subsidi RM3.72 seliter menelan kos RM744, namun penerima BUDI95 hanya membayar RM398 bagi penggunaan sama menerusi harga subsidi RM1.99 seliter, sekali gus menikmati penjimatan sehingga RM346 sebulan.
Sementara itu, kerajaan memandang positif perkembangan terkini dalam konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang berkekalan, yang menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
Bagaimanapun masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik, termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad.
Nnnn
