6 bekas Ahli Parlimen Bersatu kekal

KUALA LUMPUR 10 Julai – Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan perkara itu selepas dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul menerusi surat bertarikh semalam.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Muhyiddin pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Enam ahli Parlimen adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Bersatu telah menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 lewat petang semalam daripada Speaker Parlimen yang menyatakan bahawa tidak berlaku tan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli Bersatu.

“Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat itu hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.

“Dalam situasi ini, jelas enam Ahli Dewan Rakyat itu tidak lagi menjadi ahli BERSATU berdasarkan peruntukan perlembagaan Bersatu.

“Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik adalah muktamad dan konklusif,” katanya.

Muhyiddin menegaskan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sudah pun memutuskan enam ahli Parlimen berkenaan terhenti keahliannya.

Beliau berkata, pentafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

“Keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berkongsi alasan dikemukakan Speaker Dewan Rakyat terhadap Suhaili, Muhyiddin berkata Johari memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu setelah Ahli Parlimen Labuan itu memulakan tindakan mahkamah, yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan Bersatu.

Sehubungan itu, beliau berkata Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Bersatu.

Beliau mempertimbangkan untuk mengemukakan usul dalam sesi Dewan Rakyat esok bagi merayu keputusan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment