KANGAR 10 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan saya memaklumkan bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.
RUU berkenaan dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua minggu depan.
Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
RUU ini merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Menerusi RUU Mufti itu juga menyenaraikan berhubung penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.
Selain itu juga, ia mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid.
RUU itu mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk beberapa mufti, pengamal undang-undang termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) apabila Presidennya, Musa Awang menegaskan sebarang usaha meletakkan mahkamah syariah kepada satu anjakan paradigma perlu disokong semua, terutama ahli Parlimen.
Nnn