WHO pertikai data dikeluarkan China

GENEVA 5 Jan. – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempertikai data yang dikeluarkan China berhubung kes kematian akibat Covid-19 yang didakwa statistik rasminya tidak menunjukkan kesan sebenar wabak berkenaan.

Menurut Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan, pihaknya percaya bahawa statistik semasa yang diterbitkan China kurang menggambarkan kesan sebenar wabak dari sudut kemasukan ke hospital, ICU dan jumlah kes kematian.

Kenyataan Ryan itu menyusul selepas China mengumumkan bahawa situasi Covid-19 di negara tembok besar itu terkawal dan ia berjaya mengawalnya.

“Kami tahu terdapat kesukaran di semua negara dalam merekodkan keluaran hospital, kemasukan dan penggunaan kemudahan ICU (unit rawatan rapi),” katanya.

China memansuhkan kawalan dan sekatan bulan lalu ketika pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya sejuta kematian di China tahun lalu namun China hanya melaporkan hanya sekitar lima kematian sehari.

Bagaimanapun, pandangan pakar antarabangsa itu ditolak China dan mendakwa ia cubaan bermotif politik untuk mencemarkan pencapaiannya dalam memerangi virus.

China dilapor turut mengkritik keputusan beberapa negara yang mengenakan SOP ketat termasuk ujian Covid-19  terhadap pengembara dari negara itu.

Sementara itu, WHO terus meminta China untuk data yang lebih pantas, tetap, boleh dipercayai mengenai kemasukan ke hospital dan kematian, serta penjujukan virus masa nyata yang lebih komprehensif.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, WHO mengambil berat tentang risiko kepada kehidupan di negara paling ramai penduduk di dunia dan mengulangi kepentingan meningkatkan liputan vaksinasi, termasuk dos penggalak, terutamanya kumpulan yang terdedah seperti orang tua.

Beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat mulai esok, telah mengumumkan keperluan ujian Covid-19 baharu untuk pelancong dari China untuk mendapatkan kemasukan domestik, di tengah-tengah kebimbangan mengenai penyebaran varian terkini.

Related posts

Leave a Comment