PH Pulau Pinang terima kekalahan

NIBONG TEBAL 6 Julai – Pakatan Harapan (PH) menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini secara terbuka kerana ia adalah suara pengundi kawasan berkenaan.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan ini adalah satu terjemahan suara rakyat terhadap apa yang berlaku di kawasan itu dan Kerajaan Perpaduan akan melakukan post mortem (bedah siasat) terhadap keputusan ini.

Katanya, walaupun gagal untuk menawan semula kerusi itu, Kon Yeow berkata, sebagai Ketua Menteri,  beliau tetap akan bertanggungjawab terhadap pengundi di situ, apatah lagi Parlimen Nibong Tebal dinaungi wakil Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun kempen dilaksanakan dengan baik bersama parti komponen namun kita masih gagal untuk meyakinkan rakyat.

“Jadi, kita akan meneliti semula gerak kerja sepanjang kempen ini, sebab apa yang berkaitan, kelemahan, kekuatan atau sebab-sebab lain,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi bagi PH di Bukit Jawi Golf Resort, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, peratusan mengundi bagi kaum Cina termasuk India turun lebih daripada 10 peratus yang sekali gus memberi kesan kepada keputusan dengan jurang majoriti lebih besar.

“Secara keseluruhannya peratusan keluar mengundi yang dicatatkan sekitar 63 peratus kurang berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang kita sudah jangkakan pada PRK ini.

“Jumlah pengundi Cina termasuk India (keluar mengundi) didapati menurun lebih 10 peratus dan kita akan menganalisa perkara ini dengan lebih mendalam bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

“Bagaimanapun, kita akan mencari penyelesaian kepada isu-isu rakyat di sini, kita tidak akan ketepikan rakyat yang memerlukan bantuan di Sungai Bakap,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment