NIBONG TEBAL 6 Julai – Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sungai Bakap apabila calon mereka Abidin Ismail menang kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abidin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.
Abidin, 56, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) yang mewakili PKR Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.
Abang Bidin menang dengan majoriti 4,267 undi, jumlah lebih besar berbanding 1,563 undi yang diperoleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit Allahyarham Nor Zamri Latiff pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Susulan kemenangan Abidin, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas kembali kerusi kawasan yang pernah dimenangi PKR selama tiga penggal bermula 2008 dan BN sebelum itu.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.
Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran dibuka sejak jam 8 pagi.
Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan sehingga pusat pengundian ditutup pukul 6 petang adalah 63.45 peratus dan 208 kertas undi ditolak.
Mengikut komposisi kaum, 59 peratus adalah pengundi Melayu, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain satu peratus.
Seramai 552 petugas SPR serta 800 pegawai dan anggota polis bertugas mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
PRK kawasan itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Pada PRN Pulau Pinang lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal mewakili PN diangkat menjadi wakil rakyat selepas memperoleh 15,433 undi menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dari PKR yang memperoleh 13,870 undi.
