Jom ‘menyorok’ di dalam kebun

HUJUNG minggu menyorok di mana? Menyorok bagi orang Kedah membawa maksud sarapan pagi atau breakfast, bukan main sembunyi-sembunyi.

Bagi yang berada di sekitar Nilai, malahan di Lembah Klang bolehlah cuba menyorok di dalam kawasan atau suasana kebun. Makanan Melayu. Hanya sarapan, tidak ada makan tengah hari, petang atau malam. Khabarnya Selasa, Rabu tutup (sila semak).

Kawasan sekitarnya bersih, selesa serta perkhidmatan yang pantas. Itu penilaian awal kepada D’Pangkin Kitchen & Garden. Sedap atau tidak menu yang disediakan bergantung kepada tekak masing-masing.

Namun bagi sesetengah orang ‘servis’ yang pantas itu keutamaan. Dan ini dapat dirasakan apabila anda tidak perlu menunggu lama. Selepas order dan bayar akan sampailah pesanan itu satu persatu.

Terletak di Lot 1564, Kampung Bukit Kadir, Nilai, Negeri Sembilan, kehadiran anda disambut dengan ucapan Selamat Datang dalam tulisan  jawi.

Hari itu, 1 Julai, saya agak bernasib baik kerana kunjungan sekitar 10.30 pagi itu tidak berhadapan masalah letak kereta atau beratur untuk mendapatkan tempat duduk. Masuk saja terus diberi senarai makanan yang masih ada untuk dipesan.

Anda boleh pilih untuk duduk di luar kawasan berbumbung atau di dalam di ruang  makan utama atau boleh juga duduk bersila di pangkin.

Selepas ambil tempat, mata tertumpu kepada senarai menu. Ada 11 menu tetapi ketika saya sampai sekitar 10.30 pagi, ada beberapa menu yang sudah habis. Selesai menanda pesanan serah kepada kaunter dan bayar terus.

Menu utama Nasi Lemak (original ibunda atau nasi lemak pandan); Nasi goreng kampung; Mi goreng; Bihun goreng. Bersama menu ini,  boleh tambah ayam goreng crispy, sambal udang, rendang daging, paru berlado, sambal kerang, telur mata.

Selain itu ada Lontong (basah kuah lodeh atau darat); Soto ayam Joho, Mee kari special; Lempeng kampung (Original atau kelapa Awa’s Style bersama sambal tumis ikan bilis, atau boleh order kari ayam.

Begitu juga dengan Roti jala kari ayam, Pulut kuning sambal tumis ikan bilis dan boleh juga nikmati pelbagai kuih muih kampung.

Minuman panas dan sejuk disediakan. Selain, teh, kopi, horlick, nescafe, neslo ada juga sirap, sirap laici, bandung, bandung laici, limau dan laici.

Selesai makan minum, sebelum pulang bolehlah berjalan-jalan di kebun yang ada bersebelahan. Sekadar menikmati suasana hijau dengan pokok-pokok termasuk kelapa, durian, pulasan, durian belanda, ubi kayu serta pokok hiasan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment