SEREMBAN 6 Julai – Seorang pemandu lori ‘menyalahkan’ GPS atau Sistem Penentududukan Sejagat apabila dia dikesan memandu melawan arus di Jalan Persiaran S2/3, Seremban 2 dekat sini semalam.
Lelaki itu juga memberi alasan tidak biasa dengan jalan di kawasan berkenaan dan terpaksa merujuk GPS iaitu sistem pandu arah satelit.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata kejadian dipercayai pukul 11.39 pagi semalam sebelum satu rakaman video berdurasi 51 saat, tular bermula kira-kira 7.40 malam tadi.
Video itu memaparkan sebuah lori dipandu melawan arus dan susulan itu usaha
mengesan suspek dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban, membawa kepada penahanan lelaki berumur 54 tahun, iaitu pemandu lori berkenaan pada hari sama bersama sebuah lori.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek yang pada masa itu membuat penghantaran barang di kawasan Seremban mendakwa tidak menyedari laluan tidak boleh dilalui.
“Dia mendakwa hanya memandu berpandukan aplikasi GPS kerana tidak biasa dengan laluan di kawasan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu bolehlah menghubungi Sarjan Mohamad Azmi di talian 013-4288599 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
(Foto IPD Seremban)
Nnn
