Siapa sebenar low class, Noh atau Puad

SEPANG 6 Julai – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Noh Omar menolak dakwaan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Puad Zarkashi bahawa beliau ‘menjual nama’ Najib Razak untuk menyertai Bersatu.

Noh yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menjelaskan isu Titah Adendum di mahkamah yang tidak memihak kepada Najib merupakan antara perkara yang mengecewakan dan menyedihkannya terhadap UMNO.

“Saya sudah lama kecewa dengan UMNO. UMNO tetap tidak berubah. Tambahan pula di dalam isu Adendum ini, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi terperdaya dengan drama dan wayang dari rakan-rakan di sekeliling beliau.

Mustahil menteri-menteri UMNO tidak tahu sama ada adendum itu wujud ataupun tidak,” katanya dalam satu kenyataan sebagai respons terhadap dakwaan Puad semalam susulan tindakannya menyertai Bersatu.

Semalam Puad yang juga Ahli MKT UMNO mengulas penyertaan Noh ke dalam Bersatu dengan membuat beberapa kenyataan berhubung keputusan Noh

Noh sebelum ini berkata, keputusan drastik menyertai Bersatu dibuat selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Berhubung Adendum ini, Noh bertanya Puad, apakah keputusan MKT UMNO yang membincangkan isu Adendum dan pembebasan Najib.

“Mana pergi gerakan meminta tanda tangan sokongan kepada Najib, untuk diserahkan kepada YDP Agong ? Sudah lupa Puad ? MT juga pernah buat keputusan untuk pimpinan UMNO mengadap YDPA untuk membebaskan Bossku.

Semasa MT buat keputusan ini adakah Puad bersetuju ataupun berani cadangkan sepatutnya jangan melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya pimpinan UMNO hendaklah berjumpa PMX dan Lembaga Pengampunan,” katanya.

Sambil menyifatkan keputusan MT hanya untuk main wayang, Noh juga bertanyakan sama ada sebagai  ahli MT, Puad tahu addendum Agong untuk menyambung penahanan Bossku dirumah wujud atau tidak.

“Mengapa Kerajaan Madani tidak mahu mengesahkan sama asa adendum wujud ataupun tidak, sedangkan ia melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Negara.

Saya yakin jika bertukar Kerajaan isu adendum ini akan terbongkar sama ada wujud atau tidak,” katanya.

Noh turut menjelaskan tidak timbul isu beliau lompat parti kerana beliau bukan lagi ahli UMNO selepas dipecat dan sejak itu tidak menganggotai mana-mana parti politik atas nasihat Najib ketika berjumpa di mahkamah.

“Oleh itu, saya bebas untuk memilih mana-mana parti. Saya memilih parti Bersatu kerana saya lihat wadah perjuangan parti ini, adalah wadah perjuangan untuk orang Melayu seperti perjuangan UMNO asal yang kini sudah menjadi UMDAP.

PN pula boleh menggantikan BN yang hidup segan mati tak mahu,” kata

Menjawab dakwaan Puad alasan yang diberikannya untuk menyertai Bersatu sebagai ‘low class’, Noh sebaliknya menyifatkan Puad Speaker DUN yang low class.

“Di Parlimen Westminster, United Kingdom ataupun di mana-mana Parlimen di Negara Commonwealth, apabila seseorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Speaker House of Commons atau Speaker Negara berkenanan, maka Speaker yang dilantik, tidak lagi mencampuri urusan isu-isu politik kepartian.

Speaker mesti neutral dan impartial, tidak memihak ke mana-mana pihak. Apa yang sering Puad buat ialah, mencampuri urusan politik parti setiap hari dengan komen-komen yang kadang-kala dilihat lucu dan menghiburkan, dengan harapan Puad mahu dirinya dilihat terus relevan di arus politik perdana negara.

Berkemungkinan Puad masih lagi mengidam mahu jadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan satu hari nanti,” kata Noh sambil bertanya adakah sebagai Speaker DUN Johor, Puad bersetuju dengan keputusan Speaker DUN Kelantan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment