PRK DUN Nenggiri 17 Ogos

PUTRAJAYA  28 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan, kata Pengerusinya,  Ramlan Harun.

Beliau berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Ramlan berkata, tempoh berkempen bagi PRK yang memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta itu ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 16 Ogos depan.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan membabitkan daftar pemilih tambahan April 2024 yang dikemas kini hingga 18 Jun lalu, mengandungi  20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Beliau memberitahu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini.

Bagi mengendalikan PRK itu, seramai 431 petugas akan dilantik, manakala 20 pusat mengundi biasa mengandungi 46 saluran dan satu pusat mengundi awal bakal digunakan.

SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding.

“Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu susulan ADUN kawasan itu Mohd Azizi Abu Naim terhenti keahlian Bersatu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengenai keahlian parti ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.

Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK DUN berkenaan daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan injunksi terbabit.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment