KUALA LUMPUR 28 Jun – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
Permodalan Nasional Bhd (PNB), dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran pengagihan pendapatan yang berjumlah RM405.65 juta itu akan memanfaatkan 325,026 pemegang unit yang kini memiliki 7.73 bilion unit.
Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.74 peratus sebanyak 2.51 mata asas.
Menurut kenyataan itu, sehingga 25 Jun 2024, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM437.76 juta.
“Pendapatan dana itu diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan ekuiti domestik menyumbang 11.8 peratus daripada jumlah pulangan dan ekuiti antarabangsa menyumbang sebanyak 3.6 peratus,” kata PNB.
PNB berkata kejayaan dana itu menjana pendapatan dan mencapai prestasi teguh dipacu oleh prestasi pasaran ekuiti yang positif di pasaran utama, termasuk Malaysia dan lonjakan global dalam kecerdasan buatan (AI) generatif.
“Melalui penilaian yang konsisten terhadap metrik prestasi dan pengawasan risiko yang proaktif, dana itu secara konsisten memberikan pulangan yang menarik dan kompetitif kepada pelaburnya,” kata kenyataan itu.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.
Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2024.
Sementara itu, urus niaga ASB 3 Didik di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk platfom digital dan perbankan internet ditangguhkan buat sementara bermula 28 hingga 30 Jun 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB dan di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2024.
Nnnn
