PUTRAJAYA 28 Jun – Seramai 159,027 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), daripada jumlah itu, seramai 83,667 calon ditawarkan di universiti awam (UA), manakala 43,531 lagi ditawarkan di Politeknik, 26,474 Kolej Komuniti dan 5,355 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
KPT dalam kenyataannya memaklumkan tahun ini sebanyak 214,173 permohonan layak diterima bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline®.
Menurut KPT, Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi kategori B40, 425 orang kurang upaya (OKU), 732 atlet dan 354 Orang Asli.
Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran.
Secara keseluruhannya, sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 104 Sijil, 53 Asasi, 346 Diploma dan satu 1 Ijazah Sarjana Muda.
KPT memaklumkan kemasukan pelajar ke institusi terbabit dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah
Dalam pada itu, KPT memaklumkan saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini hingga 7 Julai ini pukul 5 petang bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian.
