Syarikat pelancongan tipu pemegang visa lawatan

RIYADH – Ada syarikat pelancongan dari beberapa negara menipu pemegang visa lawatan dengan mengeluarkan visa tidak dibenarkan untuk menunaikan haji selain menggalakkan tinggal di Makkah dua bulan sebelum musim haji.

Jurucakap keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Arab Saudi Talal Al-Shalhoub, berkata beberapa individu dikesan menyalahgunakan visa lawatan dan visa lain yang bukan dikhususkan untuk menunaikan haji.

Katanya kementerian telah mengambil langkah proaktif untuk memperhebat kempen kesedaran berhubung larangan menunaikan haji tanpa permit serta menguatkuasakan hukuman yang ketat kepada pesalah.

Dalam temu bual dengan Televisyen Al-Arabiya yang dilaporkan portal berita Saudi Gazette, Al-Shalhoub berkata permit haji bukan sekadar kad transit sebaliknya ia memudahkan akses kepada jemaah dan mengenal pasti lokasi untuk menyediakan penjagaan dan perkhidmatan yang diperlukan dengan segera.

Katanya, ketiadaan permit haji menimbulkan cabaran berkaitan penawaran perkhidmatan dan penjagaan kesihatan bagi pelaku yang melanggar peraturan.

Bagaimanapun Al-Shalhoub berkata pelan keselamatan musim haji 2024 berjaya dilaksanakan dan berjalan lancar.

Katanya, kejayaan langkah keselamatan itu adalah bukti usaha yang diselaraskan antara pelbagai agensi keselamatan, tentera dan kerajaan di mana usaha itu memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan selamat, aman dan selesa.

Beliau juga menjelaskan 83 peratus daripada jumlah kematian ketika musim haji, yang menyumbang 1,079 daripada 1,301 jemaah adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai permit haji.

Nnn

Related posts

Leave a Comment