Satu lokasi nampak anak bulan

KUALA LUMPUR 1 Mei – Salah satu daripada 29 lokasi cerapan anak bulan telah mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal, sekali gus menyebabkan 1 Syawal diisytiharkan pada 2 Mei 2022.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah berkata cuaca yang cerah serta tiada sebarang halangan memungkinkan anak bulan Syawal dilihat di negara ini.

“Pada kali ini agak berlainan daripada kebiasaan sebenarnya kerana salah satu lokasi daripada 29 lokasi yang diwartakan untuk mencerap anak bulan telah melaporkan kenampakan anak bulan.

“Jadi dengan kenampakan anak bulan tersebut, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah isytiharkan 2 Mei esok adalah 1 Syawal, bererti ia tidak selaras dengan apa yang telah dijangkakan sebenarnya.

“Bagi kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Melihat Anak Bulan, kita bergantung kepada laporan daripada pihak-pihak yang mencerap,” katanya kepada media di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu hadir bagi proses melihat anak bulan Syawal yang turut disertai daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Ditanya berkenaan kekeliruan yang berlaku dalam isu pencerapan anak bulan, Luqman berkata kekeliruan mungkin wujud disebabkan kriteria baharu yang ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment