Ekonomi Malaysia kekal stabil

KUALA LUMPUR 25 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi Malaysia secara umumnya kekal stabil berdasarkan laporan Indeks Daya Saing Dunia (WCR) 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD).

Perdana Menteri berkata, laporan itu mengambil kira beberapa faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Malaysia, termasuk kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi serta prestasi ringgit dan pengurusan ekonomi.

Beliau berkata selepas pandemik Covid-19, pertumbuhan ekonomi negara melonjak naik daripada ambang yang sangat rendah yang mana prestasi berikutnya adalah terlalu rendah berbanding sebelumnya.

“Dalam keadaan perbelanjaan kita meningkat dan defisit membengkak, kita masih meluluskan beberapa peruntukan tambahan yang lebih,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai strategi kerajaan susulan kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Anwar berkata, kelewatan Malaysia melaksanakan penyasaran subsidi juga dianggap sebagai kelemahan.

“Perincian laporan itu, di antara teguran agak keras yang menyebabkan kita merosot adalah kerana kelewatan kita, kurang tegas kita, dalam pelaksanaan dan penyasaran subsidi.

“Ketiga-tiga perkara ini kita ambil perhatian walaupun saya setuju perkara lain kita teliti supaya dapat kita perbaiki.

“Pertama soal pertumbuhan ekonomi lebih baik, kedua ringgit lebih mengukuh dan ketiga penyasaran subsidi dalam soal ayam, diesel yang sudah dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu Anwar menafikan pendirian keras Malaysia dalam beberapa isu antaranya hubungan dengan China, Iran dan Hamas menjejaskan kedudukan negara.

“Saya tidak fikir ini tepat kerana laporan ini masih berdasarkan kepada angka-angka walaupun agak keras kepada Malaysia. Namun saya setuju bahawa semua pihak termasuk saya dan Jemaah Menteri semuanya harus memperbaiki prestasi dan saya terima baik teguran itu,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bahawa pemberian subsidi sudah lama dilaksanakan dan tidak menjejaskan kedudukan Malaysia sebelum ini, Anwar menjelaskan ia berikutan belum berada dalam kerangka laporan IMD.

Katanya, laporan IMD yang terakhir menetapkan penyelarasan subsidi.

“Itu sebabnya Indonesia dalam dua tahun yang lalu, mengambil tindakan agak keras dalam soal harga beras, tepung dan gula. Prestasi negara itu jatuh berbanding Malaysia, begitu juga dengan harga barang di Thailand.

“Malaysia (jatuh) kerana subsidi dikatakan sebagai penawar ekonomi yang tidak realistik kerana harga semuanya rendah berbanding harga pasaran. Itu yang ditegur, jadi kita akan laksanakan,” katanya

Nnn

Related posts

Leave a Comment