KUALA LUMPUR 25 Jun – Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) secara menyeluruh seperti diputuskan oleh Jemaah Menteri dijangka dilaksanakan pada Oktober depan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata pelaksanaannya dibuat selepas penilaian impak projek rintis GDP selesai dilaksana pada September ini.
“Pelaksanaan projek rintis DGP bermula pada Jun hingga Ogos ini. Bagaimanapun, majikan sudah boleh mula mendaftar melalui laman sesawang www.gajiprogresif.gov.my pada 15 Mei lalu.
“Pembayaran insentif diberi bagi tempoh setahun. Pelaksanaan projek rintis DGP bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.
Menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau juga memaklumkan permohonan majikan untuk menyertai projek rintis DGP juga semakin meningkat.
“Sehingga 25 Jun (hari ini), seramai 732 majikan sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah itu, seramai 237 (32 peratus) majikan sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis DGP.
“Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan, pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula Oktober ini apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
“Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya.
Abdul Rahman berkata, sehingga bulan ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Pekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi sudah menganjurkan serta menghadiri sebanyak 16 sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja.
Beliau berkata, berdasarkan sesi libat urus, didapati majoriti majikan dan pekerja memberi maklum balas positif terhadap pelaksanaan DGP.
“Ini turut digambarkan menerusi sambutan yang amat menggalakkan dalam sesi Town Hall Projek Rintis DGP yang telah diadakan pada 6 Jun lalu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang disertai oleh 1,500 peserta,” katanya.
Nnnn
