Penjualan saham MAHB lalui syarat ketat

KUALA LUMPUR 25 Jun – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) telah melalui syarat yang ketat.

Perdana Menteri  Anwar Ibrahim berkata apabila pertimbangan pengurusan dibuka, kira-kira 145 syarikat berminat tetapi hanya lima yang layak dan kebanyakannya tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh Khazanah.

Katanya, syarat pertama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah rakyat Malaysia dan kedua, majoriti pegangan Malaysia.

“Namun, syarikat lain yang berminat ini baik Singapura dan lain-lain, dia nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyatnya atau dia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi, itu sebabnya mengapa GIP diambil,” katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengapa GIP dibawa masuk bagi membantu MAHB yang merupakan sebuah syarikat berdaya saing.

Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini! Wan Ahmad Fayhsal turut bertanyakan mengapa MAHB tidak memilih rakan yang lain.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar (PH-Tambun) berkata adalah sukar untuk mana-mana syarikat asing mahu bekerjasama jika mereka tidak menguasai majoriti pegangan saham, pengurusan atau menjadi Pengerusi dan CEO.

“Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat terutamanya dari segi penguasaan majoriti saham. Kita tidak beri kerana kita masih kekalkan 70 peratus syarikat Malaysia, Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” tambahnya.

Terdahulu Perdana Menteri mempersoalkan mengapa pelaburan BlackRock dalam MAHB menjadi isu sekarang sedangkan penglibatan syarikat itu sudah berlaku sejak 2021.

Ia termasuk pemilihan BlackRock oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Katanya, menerusi peruntukan itu, KWSP menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian – BlackRock, HarbourVest Partners LLC dan Partners Group AG.

Usaha ini, katanya telah pun bermula sejak 2018 sebelum dilancarkan oleh KWSP pada 2021.

“Kita diserang sekarang (dalam isu pelaburan BlackRock) termasuk oleh rakan di sebelah sana (pembangkang)… dia lupa keputusan penting (dibuat ketika jadi kerajaan) beri peranan kepada BlackRock pada 2021.

“Apa keputusannya, KWSP menyerahkan Akaun Terurus Berasingan (SMA) bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh syariah pertama dan terbesar di dunia kepada BlackRock. Tahniahlah dan jumlahnya AS$600juta bersamaan RM2.5 bilion.

Kalau (dalam isu) BlackRock ini (dilihat) soalnya mengapa 2021 boleh buat, tetapi sekarang tak boleh. Inilah yang menjadi masalah, (apakah) hukum berubah ikut keadaan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment