SEPANG 24 Jun – Kumpulan pertama, 280 jemaah haji Malaysia KT01 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9.10 malam ini dengan penerbangan AMAL Malaysia Airlines.
Mereka terdiri dari jemaah haji negeri Kedah dan Kelantan itu berlepas daripada Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 6.40 pagi (waktu Arab Saudi).
Ketibaan jemaah haji disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussin dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Mohd Na’im ketika bercakap kepada media bersyukur dan berpuas hati dengan komitmen TH dalam memastikan kelancaran proses urusan haji tahun ini.
Katanya, walaupun menghadapi beberapa keadaan yang mencabar seperti cuaca panas terik namun kesemua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan mempamerkan tahap disiplin yang tinggi.
Beliau memberitahu, setakat ini seramai 18 jemaah Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci disebabkan serangan jantung dan jangkitan kuman dan tiada seorang pun yang mengalami strok haba.
Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, TH juga sudah melaksanakan badal haji secara percuma kepada lapan jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat melakukan wukuf di Arafah.
Sementara itu, Syed Hamadah dalam kenyataan berkata, TH akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah negara dan membuat penilaian teliti bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pada musim haji akan datang.
Menurutnya, matlamat dan objektif yang digariskan untuk operasi haji kali ini telah berjaya dicapai antaranya TH telah membantu menyelaras supaya hampir kesemua jemaah haji dapat melaksanakan wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah.
Katanya, seramai 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan buah bas yang diubahsuai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji yang kedua itu.
“TH komited dalam memastikan keselesaan dan keselamatan para jemaah terjamin sepanjang melaksanakan ibadah haji dan atas beberapa pembaharuan serta inisiatif yang diadakan telah memungkinkan operasi haji kali ini berjalan dengan lancar dengan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.
