BENTONG 23 Jun – Parti Progresif Rakyat (MyPPP), bersedia untuk kembali ke medan perjuangan’ dan berkhidmat kepada rakyat selepas mengalami krisis kepimpinan dan ketidakstabilan politik parti itu sejak lima tahun lalu.
Pemangku Presidennya, Dr J Loga Bala Mohan berkata, kebangkitan itu akan bermula dengan perhimpunan agung tahunan pertama selepas lima tahun tidak diadakan, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen MyPPP Pahang semalam, beliau berkata, Pendaftar Pertubuhan (RoS) juga sudah mengiktiraf keabsahan Majlis Tertinggi parti itu, 11 April tahun lalu.
MyPPP yang dulunya dikenali sebagai PPP antara parti tertua di negara ini yang ditubuhkan pada 1953, pernah mempunyai kira-kira 528,000 ahli berdaftar, namun selepas krisis kepemimpinan, keahlian merosot kepada 320,000.
RoS melucutkan pendaftaran MyPPP pada 14 Januari 2019 selepas pergolakan kepemimpinan di antara mendiang Maglin Dennis D’Cruz dan Tan Sri M Kayveas.
Krisis yang berlarutan selama lima tahun berakhir 11 April tahun lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan keabsahan Majlis Tertinggi MyPPP yang diadakan pada 19 Mac 2023 yang memilih D’Cruz sebagai presiden.
Menurut Bala Mohan, MyPPP berhasrat untuk merekrut lebih 100,000 ahli baharu dalam tempoh dua tahun akan datang dan akan membuka semula pusat perkhidmatan di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara.
Loga Bala, berkata MyPPP telah mengadakan konvensyen negeri di enam negeri dan disusuli di tiga lagi negeri sebelum perhimpunan agung.
Katanya, MyPPP berhasrat untuk merekrut lebih 100,000 ahli baharu dalam tempoh dua tahun akan datang dan akan membuka semula pusat perkhidmatan di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara.
MyPPP juga sedang mengemas kini butiran ahli di 3,200 cawangan di seluruh negara dan bahagian termasuk mengeluarkan kad keahlian baharu.
Nnn
