SEREMBAN 23 Jun – Kementerian Pengangkutan akan menamatkan permit operasi institut memandu (IM) yang didapati terbabit dengan lesen kopi o atau lesen terbang.
Menterinya, Anthony Loke ketika memberi amaran itu, mengakui gejala berkenaan sudah lama berlarutan dan tidak menafikan ia masih wujud, namun sudah berkurangan.
“Jangan terbabit dalam apa-apa unsur yang tidak baik, unsur rasuah. Mesti kita hapuskan bersama sebab sudah lama saya dengar ada lesen kopi o, lesen terbang dan macam-macam lagi.
Ini yang kita nak betul- betul hapuskan. Kerana kalau kita terbabit dengan perkara ini, yang menjadi mangsa adalah anak-anak muda kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Akademi Memandu RDS dan Pelaksanaan Projek Lesen Orang Asli, di sini pagi ini.
Justeru atas dasar itu kementerian menggalakkan IM supaya mula melaksanakan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’ untuk mengelak gejala itu.
Beliau berkata, kementerian juga menggalakkan IM supaya beransur-ansur menormalisasikan sistem berkenaan sebelum ia diwajibkan pada masa akan datang bagi mengelakkan sebarang masalah jika dilaksanakan secara mendadak.
Kita mahu sistem ini jadi satu budaya. Hala tuju dalam masa lima tahun kita akan wajibkan, setakat ini kita bagi kelonggaran sedikit.
“Saya tidak mahu dalam beberapa tahun ini tiada langsung IM yang ambil eTesting, tiba-tiba menjelang tahun kita wajibkan semua, kita akan ada gangguan. Kita tidak mahu ada gangguan. Kita nak buat secara ansur-ansur supaya biasakan diri dalam kalangan IM dan pelatih, supaya ia jadi pilihan kepada semua,” katanya.
Mengulas mengenai sindiket yang masih berani menawarkan lesen memandu tanpa ujian yang sepatutnya, beliau mendedahkan kini wujud sindiket penipuan yang menawarkan pakej berkenaan menerusi media sosial.
