KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyalurkan nilai bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas FF1 sebanyak RM1.75 juta kepada Kerajaan Persekutuan.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda menzahirkan harapan agar nilai bidaan yang disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan itu dapat digunakan untuk membantu rakyat.
“Nombor plat kenderaan keluaran khas FFF 1 menjadi milik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selepas membida nilai tertinggi sebanyak RM1.75 juta,” menurut catatan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam catatan di Facebooknya menjunjung kasih sumbangan yang disalurkan oleh Sultan Ibrahim dan akan disalurkan untuk beberapa inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Patik mewakili Kementerian Pengangkutan amat menghargai sumbangan yang disalurkan oleh Tuanku dan keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Dana tersebut, antara lain akan digunakan untuk bantuan tambang penerbangan untuk siswa (FlySiswa) di antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak, program Mylesen untuk golongan B40 serta penukaran topi kaledar baharu untuk penunggang motosikal.
