6 jemaah meninggal sempat wukuf

MAKKAH: Enam lagi jemaah haji Malaysia di Tanah Suci meninggal dunia selepas mereka sempat melakukan ibadah wukuf dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada darah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dengan perkembangan ini jumlah kematian jemaah Malaysia setakat ini adalah 14 orang.

Jemaah terbaru yang meninggal dunia adalah Bawi Solek, 75, dari Kampung Hilir Pusa, Sarawak; Raksan Matasil, 74, (Kota Kinabalu, Sabah); Madon Mohamed, 71, (Masai, Johor); Roba’ayah Yusoff, 71, (Beruas, Perak); Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, (Sauk, Perak); dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, dari Kota Bharu, Kelantan.

Dr Mohd Na’im bagi pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengucapkan takziah kepada waris yang telah meninggal di Makkah dan mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh.

Bercakap pada sidang media penutup musim haji 1445H/2024 di Ibu Pejabat TH di sini malam tadi, beliau memberitahu seramai 93 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan dengan 11 ditempatkan di Hospital Arab Saudi termasuk dua dalam keadaan kritikal di Hospital King Abdulaziz, manakala 82 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.

Beliau berkata, kebanyakan kes membabitkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menyifatkan operasi haji tahun ini sebagai antara yang paling cemerlang dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan TH serta petugas yang berjaya memainkan peranan untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji Malaysia terjamin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas TH yang terlibat dalam Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (Peneman) bagi membantu 50 warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus semasa tempoh kemuncak haji di Masyair tempoh hari.

Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa satu pascanilai akan diadakan bagi mengenal pasti segala bentuk aduan yang diterima daripada jemaah haji Malaysia khususnya semasa di Masyair untuk penambahbaikan perancangan musim haji tahun depan.

Related posts

Leave a Comment