Keputusan pengundi bukan kajian, nujum

JEMPOL 28 Julai – Keputusan pilihan raya terletak di tangan pengundi yang keluar mengundi bukannya penganalisis atau ramalan politik semata-mata, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.

Justeru beliau menyifatkan kenyataan beberapa pihak yang membuat jangkaan berhubung keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16, sebagai cabaran untuk calon dalam usaha memenangi kerusi ditandingi.

“Yang akan memenangkan mana-mana calon ataupun parti dalam pilihan raya pada akhirnya ialah pengundi yang keluar mengundi, bukannya kajian atau (tilikan) nujum… jadi, kita melihat kenyataan individu seperti Dr Ong Kian Ming, sebagai cabaran untuk diri sendiri.

“Bagi calon-calon, kita kena terus menyantuni dan mendekati pengundi, terutama pengundi atas pagar untuk meyakinkan mereka, merayu mereka memberikan undi kepada PH,” katanya kepada pemberita pada program minum petang bersama komuniti di FELDA Bukit Rokan Barat, di sini, hari ini.

Ketua Penerangan PKR itu mengulas ramalan Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi, berhubung potensi saingan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, turut memberi contoh pengalaman peribadinya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan semua kajian awal meramalkan beliau bakal tewas di Parlimen Lembah Pantai, namun keputusan akhir adalah sebaliknya.

Terdahulu, Kian Ming berkata, berdasarkan analisis keseluruhan, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diunjurkan berpeluang membentuk kerajaan negeri dengan memenangi antara 23 hingga 25 daripada 36 kerusi DUN.

Menurutnya, PH pula dijangka memperoleh antara 11 hingga 13 kerusi, dengan PKR diunjurkan hanya memenangi satu kerusi manakala selebihnya dimenangi DAP.

Kian Ming berkata, kerjasama BN dan PN dijangka meningkatkan sokongan pengundi Melayu melebihi 70 peratus selain mengelakkan perpecahan undi Melayu yang sebelum ini memberi kelebihan kepada PH.

Katanya, walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding sebagai kuasa ketiga, kesannya dijangka terhad di beberapa kerusi dan tidak mampu mengubah gambaran keseluruhan persaingan.

Beliau memberitahu, pada PRU 2018, PH memperoleh 53 peratus undi popular dan memenangi 20 kerusi ketika Bersatu masih berada dalam gabungan itu, dengan sokongan pengundi Melayu melebihi 20 peratus.

Bagaimanapun pada PRU 2022, undi PH merosot kepada 44.4 peratus dan jika  diterjemahkan kepada kerusi DUN, PH hanya memperoleh 17 kerusi, BN 18 kerusi dan PN satu kerusi.

Analisis itu turut menunjukkan BN memperoleh 37.4 peratus undi pada PRU 2018 sebelum menurun kepada 31.9 peratus pada PRU 2022 dan 22.2 peratus pada PRN 2023.

PH pula mencatat 53 peratus undi pada PRU 2018, 44.4 peratus pada PRU 2022 dan 38.7 peratus pada PRN 2023, manakala Pas atau PN meningkat daripada 7.6 peratus pada 2018 kepada 21.7 peratus pada PRU 2022 sebelum mencatat 37.7 peratus pada PRN 2023.

Dari segi agihan kerusi, BN memenangi 16 kerusi pada PRU 2018, meningkat kepada 18 kerusi pada PRU 2022 sebelum memperoleh 14 kerusi pada PRN 2023.

PH pula memenangi 20 kerusi pada PRU 2018 dan masing-masing 17 kerusi pada PRU 2022 serta PRN 2023, manakala Pas atau PN meningkat daripada sifar kerusi pada 2018 kepada satu kerusi pada PRU 2022 sebelum memperoleh lima kerusi pada PRN 2023.

Mengikut unjuran bekas Ahli Parlimen Bangi itu lagi, BN dijangka mempunyai 14 kerusi selamat, PN tiga kerusi dan PH sembilan kerusi.

Ini memberikan BN dan PN sebanyak 17 kerusi selamat, sekali gus hanya memerlukan dua lagi kerusi untuk mencapai majoriti mudah 19 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Beliau menggunakan andaian kadar keluar mengundi sebanyak 80 peratus bagi pengundi Melayu, 65 peratus pengundi Cina, 60 peratus pengundi India dan 65 peratus bagi pengundi lain-lain.

Katanya, kadar keluar mengundi keseluruhan dijangka lebih tinggi berbanding 69 peratus yang direkodkan pada PRN Johor berikutan ramai pengundi Negeri Sembilan menetap dan bekerja di Lembah Klang, namun jurang penyertaan antara pengundi Melayu dan bukan Melayu dijangka masih berterusan.

Analisis itu turut mengenal pasti 10 kerusi DUN sebagai kawasan persaingan sengit, iaitu Chennah, Klawang, Serting, Jeram Padang, Temiang, Sikamat, Ampangan, Linggi, Sri Tanjung dan Repah.

Daripada jumlah itu, enam adalah kerusi majoriti Melayu iaitu Klawang, Serting, Jeram Padang, Sikamat, Ampangan dan Linggi.

Kian Ming mengunjurkan BN berpeluang memenangi Jeram Padang dan Linggi, manakala PN dijangka menguasai Klawang, Serting, Sikamat dan Ampangan.

Menurut beliau, kemenangan di enam kerusi itu sahaja sudah memadai untuk meningkatkan jumlah kerusi BN dan PN kepada 24 kerusi.

Sekiranya berlaku kejutan dengan BN tewas di Linggi, gabungan BN dan PN masih berpotensi memperoleh 23 kerusi, sekali gus mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Mengenai DUN Chennah, Kian Ming berkata, kerusi itu kekal sebagai kawasan yang terlalu sengit untuk diramal dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Katanya, sentimen anti-DAP dan anti-PH dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu di kawasan yang mempunyai 47.8 peratus pengundi Melayu itu menjadikan Chennah sebagai antara kerusi paling sukar diramal pada pilihan raya kali ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment