PUTRAJAYA 20 Jun – Malaysia dan China menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Justeru China bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025, manakala Malaysia pula sehingga penghujung 2026.
Kenyataan bersama dikeluarkan pada hari terakhir lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke negara ini hari ini, menyatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Li Qiang mengalu-alukan minat mendalam untuk meneruskan perundingan dan perbincangan mengenai pengecualian visa bersama bagi memudahkan kemasukan rakyat Malaysia dan China.
Terdahulu pada 31 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika lawatan ke Beijing, mengumumkan China bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong dari Malaysia daripada 15 ke 30 hari
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memaklumkan Malaysia pula bersetuju memberikan pelancong China visa percuma selama 30 hari.
Sementara itu, Malaysia dan China juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pendidikan ke tahap baharu, mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan vokasional, penyelidikan saintifik bersama dan pendidikan digital.
“Ia termasuk bagi mengiktiraf institusi pendidikan tinggi untuk bersama-sama menubuhkan institut pengajian lanjutan; meningkatkan interaksi antara badan pemikir dan institusi pendidikan tinggi; memupuk lawatan bersama antara guru serta pelajar serta meningkatkan pertukaran budaya dan pembelajaran bersama.
“Kedua-dua pihak turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dalam bidang media, berita dan penerbitan, filem dan penyiaran bagi meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat terutamanya generasi muda.
“Juga meningkatkan pertukaran budaya dan pembelajaran bersama,” menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua negara turut mengesahkan untuk menjalankan pusingan baharu berhubung penyelidikan bersama mengenai perlindungan panda sempena memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, sekali gus mengukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik.
Selain itu, bersetuju untuk bekerjasama dalam pencalonan multinasional bagi memasukkan unsur tarian singa dalam Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Warisan Budaya Tak Ketara (ICH) Kemanusiaan.
“Ini memandangkan kedua-dua pihak meraikan tarian singa sebagai satu bentuk perkongsian sejarah dan bersama-sama mempromosikan pemeliharaan warisan bersama,” kata kenyataan itu lagi.
Nnn
