Kontraktor beli diesel guna tong ditahan

KOTA BHARU 10 Jun – Pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang kontraktor di stesen minyak selepas dikesan melakukan pembelian diesel menggunakan tong tanpa permit.

Kejadian itu berlaku di Wakaf Aik, Tawang dekat Bachok ketika KPDN melakukan pemantauan di stesen berkenaan beberapa jam selepas pengumuman pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 liter yang bermula hari ini.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata, hasil pemantauan pihaknya  mendapati kontraktor berkenaan datang ke stesen minyak terbabit menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Lelaki terbabit membawa 15 tong biru dan ketika tangkapan dibuat, sebanyak enam tong sudah diisi diesel dengan setiap satu tong mengandungi 25 liter diesel. Pembelian dilakukan menggunakan kad debit.

“Susulan itu kita menahan kontraktor berkenaan kerana melakukan pembelian diesel menggunakan tong tanpa permit atau surat kebenaran sah,” katanya ketika mengadakan pemantauan di stesen minyak Petronas dan Petron di Pasir Pekan, di sini, tengah malam tadi.

Azman berkata, siasatan mendapati tujuan pembelian diesel berkenaan untuk aktiviti pertanian dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Azman, pihaknya turut menyita dokumen stesen berkenaan kerana mengenakan pembelian diesel bersyarat iaitu maksimum RM100 untuk setiap kenderaan.

Katanya, pengusaha stesen berkenaan menggunakan alasan diesel tidak mencukupi.

(Foto KPDN Kelantan)

Related posts

Leave a Comment