NIBONG TEBAL 10 Jun – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC mengajak pengundi menguburkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Pengerusi BN negeri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Musa Sheikh Fadzir berkata seluruh jentera BN sudah bersiap sedia untuk memenangkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan di Sungai Bakap.
“Kali ini kita kuburkan mereka (PN), kita rampas Sungai Bakap daripada depa (mereka). Cukup-cukuplah jadi ADUN di Sungai Bakap. Kita akan mulakan semangat baharu bersama satu jentera menangkan calon Pakatan Harapan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar, di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan kepemimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
Sambil menyatakan buka buku baharu, Musa memberi jaminan UMNO bersama komponen MCA dan MIC akan membantu memenangkan calon PH.
“Ada orang tanya saya sama ada MCA dan MIC akan turun bantu calon Perpaduan. Di sini saya bagi jaminan yang kita sudah tutup buku dulu dan sekarang buku baru bahawa kita akan bekerja sebagai satu kumpulan.
Saya sudah berjumpa dengan MCA dan MIC untuk turun tolong calon PH Kerajaan Perpaduan yang kita seluruh jentera BN sudah siap sedia utk tumpaskan PN,” katanya.
PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, Rafizi pada majlis itu berkata, calon Kerajaan Perpaduan akan diumumkan pada Rabu ini selepas pimpinan tertinggi PH mengadakan mesyuarat untuk membentangkan calon yang dipilih sebelum diperakukan.
“Senarai sudah dihantar kepada Presiden PKR (Anwar Ibrahim) dan disaring oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Kita akan berjumpa sekali lagi pada Rabu ini untuk umumkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Nnn
