SERDANG 10 Jun – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan menarik sebanyak RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman melalui penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Menterinya, Mohamad Sabu, berkata perolehan itu antara petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan untuk MAHA 2024 bermula 11 hingga 22 September depan yang turut meraikan ulang tahun ke-100 sejak penganjurannya pada 1923.
Berucap pada Majlis Peluncuran MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini, beliau berkata, KPKM juga menyasarkan nilai potensi pembiayaan kewangan RM600 juta atau sekurang-kurangnya 4,000 permohonan dengan nilai jualan langsung sekurang-kurangnya RM40 juta
Mohamad berkata, MAHA 2024 yang melibatkan pempamer melebihi 2000 syarikat dijangka menarik tiga juta pengunjung akan menjadi platform dalam mempromosikan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa.
MAHA 2024 juga menyasarkan jumlah ‘outreach’ menerusi media sosial sekurang kurangnya 10 juta orang.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan teknologi pertanian moden dalam kalangan petani dan pengusaha tempatan menjadi antara aspirasi utama penganjuran MAHA 2024.
Menerusi MAHA kali ini, pengunjung dan pemegang taruh akan dapat merasai pengalaman secara langsung untuk aplikasi inovasi seperti pertanian pintar, penggunaan data besar (Big Data) dan automasi boleh diaplikasikan dalam operasi harian mereka.
Di samping itu, MAHA 2024 yang bertemakan , “Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom”, perlu menjadi wadah atau platform untuk mempromosikan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa.
Dengan penyertaan pelbagai delegasi dan pelabur antarabangsa, adalah diharapkan menerusi inisiatif ini produk-produk keluaran tempatan akan dapat menembusi pasaran global dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha tempatan.
Selain itu, katanya, penganjuran MAHA 2024 juga perlu menekankan fokus untuk menggalakkan amalan pertanian lestari yang dapat memelihara alam sekitar dan memastikan kelestarian sumber pertanian.
“Saya berhasrat untuk memastikan bahawa pertanian yang kita laksanakan hari ini tidak hanya memenuhi keperluan masa kini tetapi juga dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAHA 2024 turut memberi penekanan kepada internet kebendaaan (IoT) dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan.
Katanya, sektor pertanian bukan hanya tentang pengeluaran makanan semata-mata, sebaliknya ia juga merangkumi aspek ekonomi, sosial dan ekologi yang lebih luas.
Sehubungan itu beliau menyeru petani, usahawan dan semua penggiat industri pertanian mengambil peluang ini bagi mempelajari teknologi dan amalan terbaru yang akan dipamerkan di MAHA 2024.
“Jadikanlah pameran ini sebagai platform untuk berkongsi pengalaman, bertukar idea, dan mencari rakan niaga yang berpotensi,” katanya.
Nnnn
