PUTRAJAYA : Kluster Sivagangga menyumbang enam daripada 15 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kesemuanya merupakan kes generasi kedua kluster itu dengan lima daripadanya merupakan satu keluarga, yang pernah mengunjungi satu daripada kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Kedah.
Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Kedah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut, masih di dalam siasatan.
Satu lagi kes daripada kluster berkenaan pula mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya, yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.
Individu berkenaan mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos dan kemudiannya dikesan positif Covid-19 pada 5 Ogos, dan dimasukkan ke HSB.
“Ahli keluarganya turut disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan,” katanDr. Noor Hisham pada sidang media hari ini.
Setakat hari ini, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster berkenaan, dengan 30 kes dikesan positif, 1,617 negatif, manakala 704 lagi yang mana pensampelan diambil semalam, masih menunggu keputusan.
“Ingin dimaklumkan daripada siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (kes yang dilaporkan pada 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat pesakit telah dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini adalah masih di dalam siasatan,” katanya.
Selain enam kes daripada Kluster Sivagangga, empat lagi kes dikesan dalam negara melibatkan dua kes dalam kalangan warganegara, dengan satu kes dikesan di Negeri Sembilan hasil saringan di tempat kerja dan satu lagi daripada saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, Labuan.
Dua lagi kes melibatkan bukan warganegara dengan satu kes dikesan di Negeri Sembilan, daripada kes saringan tahanan yang merupakan pendatang tanpa izin dan satu lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daripada kes saringan komuniti bersasar.
Selebihnya merupakan kes import, melibatkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara dengan empat daripadanya pulang daripada Filipina melalui Sabah, dan satu dari Afrika Selatan melalui Kuala Lumpur.
Dr Noor Hisham berkata, 15 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 9,038 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 200 kes.
Menurutnya lagi, sehingga 12 tengah hari 6 Ogos 2020, sebanyak 11 kes telah pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih sebanyak 8,713 kes atau 96.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.
Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.