KOTA KINABALU 10 Jun – Selepas berjaya mengesan kegiatan penipuan kontena yang terbesar di Selangor, baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang mempunyai pelabuhan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pelabuhan di Sabah dan negeri lain yang terbabit kini dalam perhatian SPRM dalam siasatan berhubung penipuan kontena yang menyebabkan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan.
Beliau berkata, usaha itu yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bertujuan memastikan ketirisan dapat diatasi dan wang hasil cukai yang sepatutnya dikutip dapat dikembalikan di negeri yang terbabit.
” Sabah juga dalam perhatian kami, begitu juga mana-mana negeri lain yang ada pelabuhan. Ini kerjasama kami dengan pihak kastam dan agensi lain untuk membanteras ketirisan yang berlaku disebabkan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan orang yang diberi amanah.
Ia adalah usaha untuk mengembalikan duit rakyat bagi memastikan cukai dibayar dan dipungut pihak kastam. Kalau ketirisan itu berlaku di Sabah, maka duit itu dikembalikan di negeri ini.
“Bagi yang sudah terlepas, kita akan guna Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan SPRM, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun dan turut dihadiri Pengerusi SESB, Madius Tangau serta Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar dan Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy.
Azam berkata, SPRM komited membongkar kegiatan penipuan kandungan kontena yang menyebabkan kerajaan kerugian dari segi nilai cukai yang tidak setimpal berikutan penipuan barangan yang diikrar.
Beliau berkata, banyak ketirisan yang berlaku apabila kontena diikrar dengan tidak betul di mana ada kontena diikrar kononnya membawa kerusi roda tetapi di dalam itu daging babi dan barangan elektrik.
“Jadi sepatutnya bayaran cukai itu lebih tinggi. Modus operandi ini berlaku di banyak tempat di Malaysia dan kita beri amaran semua negeri, termasuk Sabah, satu hari nanti SPRM akan sampai juga,” katanya.
Mengulas mengenai siasatan kemungkinan berlaku kes baharu membabitkan isu pembekalan air di Sabah, Azam berkata setakat ini tiada perkara tidak baik dikesan seperti yang berlaku pada 2017.
“Ketika itu kes berpunca apabila SPRM dapat banyak maklumat dan rungutan daripada rakyat Sabah mengenai wang dibelanjakan dengan banyak diberikan kepada Sabah tetapi tidak turun ke bawah, jadi itu mendatangkan pemantauan kami.
“Selepas itu, Alhamdulillah, walaupun ada juga kepincangan di sana sini tetapi sekarang lebih baik,” katanya.
Nnnn
