KOTA BHARU 9 Jun – Penganjuran hiburan tanpa permit di Kelantan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 dikuatkuasakan tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata RUU itu bagi menggantikan Enakmen Hiburan Tahun 1998 di mana kadar denda dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000.
Beliau berkata, setakat ini semua proses sudah siap kecuali versi bahasa Inggeris dan akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Selepas lulus dalam sidang DUN, kena warta dulu dan akan tetapkan tarikh bila penguatkuasaan. Untuk tahun ini ada dua lagi sidang DUN, sempat la tahun ini (kuat kuasa RUU) lagipun Pengerusi Jawatankuasa Induk adalah Timbalan Menteri Besar (Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan).
“Mulai tahun depan, mana-mana penganjur yang menganjurkan acara berbentuk hiburan tanpa permit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000,” katanya selepas meraikan petugas kebersihan Jabatan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di Pejabat Perkhidmatan Bandar, di sini.
Beliau berkata, kuasa kelulusan permit acara hiburan yang sebelum ini di bawah kuasa Pegawai Jajahan juga akan ditukar kepada Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya borang permohonan juga akan diperincikan dengan garis panduan baharu contohnya lokasi acara, masa, jenis lagu dan jenis persembahan.
“Kita akan perincikan lagi borang, buat garis panduan baharu contohnya lokasi, masa, siapa artis, lagu apa dan paling penting jika artis wanita diadakan tertutup untuk penonton wanita sahaja,” katanya.
