Adibah Amin Tokoh Wartawan Negara

KUALA LUMPUR 8 Jun –  Wartawan wanita veteran Adibah Amin diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 malam tadi.

Dengan pengiktirafan itu, Khalidah Adibah Amin,  88 merupakan wartawan wanita pertama dipilih sebagai Tokoh Wartawan Negara, anugerah tertinggi dalam bidang kewartawanan tempatan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah itu kepada adik perempuan beliau Fadzilah Amin, yang mewakili kakaknya yang tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan.

Adibah adalah anak kepada pejuang kemerdekaan Zainon Sulaiman atau Ibu Zain yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan, malah menjadi ahli bahasa, pendidik, serta penyampai berita yang cemerlang.

Beliau yang terkenal dengan penguasaan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu turut menulis tiga novel bahasa Melayu menerusi nama pena Seri Delima, selain menghasilkan lebih 200 drama radio.

Adibah mula menjadi wartawan New Straits Times pada 1971 dan menjadi wanita pertama menyandang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian (BH) (1983-1984), selain kolumnis BH dan The Star serta sebagai penasihat editor majalah Jelita.

Beliau sebelum ini pernah penerima beberapa pengiktirafan besar lain antaranya Tokoh Terjemahan Negara 2012, Anugerah Penulisan SEA (SEA WriteAward) 1983, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena 1991, Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (Persatuan Wartawan Melayu Malaysia) 1996 dan Anugerah Tun Razak 1998.

Pada November 2006, Adibah menghasilkan novel pertama dalam bahasa Inggeris, This End of The Rainbow selain menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia termasuklah No Harvest But A Thorn tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan).

Beliau juga telah menghasilkan lebih 50 buku karya asal, penyuntingan dan terjemahan antaranya Glimpses: cameos of Malaysian life MPH Group Publishing 2008, As I was passing II MPH Group Publishing 2007 dan As I was passing MPH Group Publishing 2006.

Selain berkarya, Adibah turut mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan pernah membintangi filem yang mendapat sambutan ramai iaitu Adik Manja (1980) sehingga berjaya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia Pertama, serta Hati Bukan Kristal (1989) dan Mat Som (1990).

Pencalonan Adibah sebagai Tokoh Wartawan Negara itu dikemukakan oleh Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

Antara wartawan veteran yang pernah menerima anugerah itu ialah A.Samad Ismail, Lee Siew Yee,  Mazlan Nordin,  Zainuddin Maidin,  Johan Jaaffar,  A. Kadir Jasin dan  Liew Chen Chuan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment