Strategi DAP letak Melayu bukan ancaman

AYER HITAM 29 Okt. – Strategi DAP meletakkan calon Melayu di kawasan Parlimen Ayer Hitam yang akan ditandingi MCA bukanlah ancaman kepada Barisan Nasional (BN), kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong,

Beliau berkata, BN dan parti itu mengalu-alukan kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam itu. pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ka Siong yang juga penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam berkata, BN tidak gentar kerana yakin dengan calon yang diketengahkan berwibawa, mempunyai pengalaman dan bukannya sebagai ‘calon bidan terjun’.

“Itu cara mereka dan kita (BN) ada cara kita. Kita tidak selalu tukar calon, saya yakin pengundi di Ayer Hitam tahu parti mana yang membantu mereka ketika kesusahan, bukannya calon itu Melayu atau bukan.

“Apa pun, sesiapa sahaja yang datang saya tidak boleh sekat. Ini kerana soal bertanding di Ayer Hitam saya serahkan kepada rakyat menilai siapa yang bersama mereka selama ini. Kehadiran kita bukan sebagai ‘bidan terjun’,” katanya selepas menghadiri Hari Sukan Negara Daerah Batu Pahat dan pemberian Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM), dekat sini hari ini.

Tanpa mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi itu, Ka Siong juga berkongsi pernah berhadapan dengan calon Melayu sebelum ini dan menjangkakan akan ada parti lain yang turut mahu meletakkan calon Melayu.

Presiden MCA itu adalah penyandang kerusi berkenaan selama empat penggal.

Pada PRU14, beliau menewaskan Liew Chin Tong dengan 303 undi majoriti.

Dua hari lalu, Pakatan Harapan (PH) menamakan Sheikh Umar, 37, yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor sebagai calon kerusi Parlimen itu.

Related posts

Leave a Comment