PUTRAJAYA 28 Mei – Dalam tempoh seminggu yang lalu, terdapat peningkatan kes yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.
Menurut kenyataan itu, pemanggil memperkenal dirinya sebagai pegawai MCMC dan memaklumkan nombor telefon mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah dan mendakwa sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian akan disekat atau disenarai hitam.
MCMC menegaskan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan pihaknya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC atau menerusi platform media sosial MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan.
“Pihak berkuasa, termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat peribadi individu,” kata MCMC.
Justeru, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali dan mereka disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call or reject list).
Orang ramai juga boleh mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki.
MCMC juga menasihatkan sekiranya menerima panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam untuk tindakan selanjutnya.
Orang ramai juga boleh melayari portal Sebenarnya.my untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita yang tidak ditentusahihkan.
“Kewaspadaan orang ramai penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain,” kata kenyataan itu.
Nnnn
