KUALA KEDAH 28 Mei – Pasangan yang tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan menunggang motosikal dengan memakai alat pernafasan baru-baru ini disahkan sebagai suami isteri hari ini.
Mohd Azlan Ishak, 36 kini menjadi suami kepada Norhidayu Halim, 35, selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi, Muhammad Hazamer Mualim pada pukul 6 petang hari ini.
“Alhamdulillah, segalanya sudah selesai, kami sudah menjadi suami isteri. Tutup buku lama dan buka buku baru. Saya mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik dan tidak menceritakan perihal buruk kami,” katanya.
Pembantu pelantar ikan itu memohon maaf kepada semua pihak dan mengharapkan sokongan daripada kawan-kawan untuk membantu kerana ini perkahwinan pertamanya dan kedua buat Norhidayu.
“Saya sudah ada tanggungjawab sebagai suami dan akan terus tinggal di rumah ibu saya di Taman Kota Nelayan, di sini dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya selepas selesai akad nikah hari ini.
Hadir menyaksikan pernikahan itu, bapa Norhidayu, Halim Saad, 64, dan ibunya, Che Ma Sebawai, 59, serta sanak saudara dan kenalan.
Terdahulu, ketika masyarakat luar bersimpati dengan nasib bayi itu, timbul cerita tidak manis tentang mereka apabila seorang imam Masjid Al-Makrufi di Alor Setar mendedahkan status pasangan itu yang dikatakan bukan suami isteri kerana masing-masing belum berkahwin.
Pendedahan yang dibuat menerusi platform media sosial itu mengejutkan banyak pihak dan Mohd Azlan mengesahkannya tetapi menjelaskan mereka memang merancang untuk berkahwin.
Mohd Azlan juga menjelaskan status pasangannya yang sebelum ini didakwa masih lagi isteri orang sebenarnya sudahpun berpisah dengan bekas suami yang kini sedang berada di dalam penjara sejak Ogos lalu bagi menjalani hukuman.
Katanya, wang itu juga akan digunakan untuk membeli alat pernafasan baharu kerana yang sedia dipakainya itu sudah rosak.
“Alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang lama itu adalah hasil sumbangan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berharga RM7,800 sebuah dan apabila ia rosak, kami terpaksa membelinya sendiri,” katanya.
Mereka juga bercadang untuk menyediakan bilik dengan kemudahan pendingin hawa untuk anaknya itu kerana selama ini dia tidak tahan panas.
Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, beliau mewakili pihak jawatankuasa qariah masjid itu lega dengan usaha yang dilakukan oleh Mohd Azlan.
Sebelum ini Mohd Azlan pernah hadir ke pejabatnya di masjid untuk meminta bantuannya dan bersedia untuk membantu mengisi borang pernikahan mereka.
“Dan semalam, dia hadir bersama bakal bapa mentuanya untuk mengisi borang pernikahan secara dalam talian dan siap cetak di sini. Hari ini segalanya sudah selesai dan mereka selamat dinikahkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pasangan itu ditular selepas membawa anaknya yang memakai alat pernafasan menaiki motosikal ke hospital sehingga mendapat simpati orang ramai.
Selain paru-paru kronik, Mohd Aariz turut menghidap penyakit gastrik angin dan limpa membesar.
Nnnn
