KUALA LUMPUR 28 Mei – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melancarkan tiga buku dalam bentuk infografik melalui Siri Infografik Hifz Al-Mal atau Pengurusan Harta Keluarga Islam.
Dibiayai sepenuhnya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), buku ini menampilkan konsep informatif sebagai panduan perancangan dan pengurusan harta yang sistematik selari kehendak syarak.
Tiga buku dalam siri berkenaan adalah Hibah, karya Mohd Faiz Adnan dan Siti Shamsiah Mohd Supi; Harta Sepencarian pula dihasilkan Mohammad Taifor Ahmad Rusdi dan Wasiat (Mohamed Fouzi Mokhtar dan Dr Mohd Zamro Muda).
Menurut Ketua Pengarah IKIM, Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, idea penerbitan naskhah berkonsepkan infografik itu selari dengan hasrat memudahkan umat Islam yang masih kurang cakna mengenai kaedah pewarisan dan pengurusan hal ehwal keluarga Islam.
“Kita sudah mengadakan bengkel (mengenai pewarisan) sejak 2018 dan daripada situ timbulnya idea untuk mudahkan pembaca memahami konteks hibah, wasiat dan harta sepencarian. Jika ia dibuat dalam bentuk penulisan, ia akan jadi sangat ilmiah.
“Jadi, melalui infografik yang turut dipaparkan borang tertentu untuk mereka isi dan kemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan, misalnya berkaitan tuntutan harta, diharap ia boleh dirujuk dan membantu mereka menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Terbitan IKIM di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Majlis itu yang disempurnakan Pengerusi IKIM, Datuk Prof Dr Muhammad Nur Manuty itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abd Kadir dan Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron.
Dr Mohamed Azam berkata, antara isu yang membelenggu pewarisan umat Islam yang tidak selesai adalah tuntutan harta yang tergantung dengan nilainya mencecah bilion ringgit.
“Isunya sekarang bila seseorang itu meninggal dunia, mereka tidak membuat wasiat atau hibah. Apabila ramai yang baca dan menekuni kepentingan ilmu pewarisan Islam, maka dapat kurangkan berbilion harta umat Islam yang tidak dituntut,” katanya.
Beliau berkata, siri buku itu diusahakan penyumbang dalam kalangan hakim Mahkamah Syariah, peguam syarie, pensyarah, pegawai tadbir kerajaan dan pegawai IKIM.
Karya terbitan IKIM boleh didapati di dua reruai di aras empat, iaitu Pavilion Al-Falah yang terletak di Dewan Merdeka dan reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Sepanjang PBAKL yang berlangsung sehingga 2 Jun depan, IKIM turut menyediakan pelbagai aktiviti di reruai Pavilion Al-Falah, antaranya sesi ‘Meet & Greet IKIMfm’ yang memberi peluang kepada pengunjung PBAKL utnuk beramah mesra dengan penyampai radio IKIMfm, segmen ‘Refleksi Buku’ iaitu sesi bedah buku oleh penulis dan penyunting, dan program berbentuk bual bicara.
Nnn
