Vaksin pertama tiba hujung Februari

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Bekalan vaksin pertama dijangka diterima pada penghujung Februari ini, dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac dan program vaksinasi ini berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, hampir 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Beliau menjelaskan perancangan program vaksinasi di negara ini adalah mengikut jadual dan kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin.

Katanya, melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan diberi perhatian utama.

“Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini,” katanya dalam pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan serta platform media sosial hari ini.

Perdana menteri berkata garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu menerima vaksin akan dihebahkan kelak.

Beliau juga menegaskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.

“Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai bencana banjir yang melanda negara, Muhyiddin berkata kerajaan menyediakan peruntukan awal sebanyak RM200 juta bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana itu.

“Di samping itu, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut,” katanya.

Related posts

Leave a Comment