KUCHING 27 Mei – Kerajaan menyokong sepenuhnya perjuangan untuk memperoleh kebebasan media dalam negara, tetapi tidak akan bertoleransi sekiranya isu agama, kaum dan raja (3R) menjadi punca kekacauan di dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata pengiktirafan atau ranking antarabangsa terhadap kebebasan media tidak menjadi pegangan dalam kerajaan sekiranya terdapat isu yang boleh memporak-perandakan negara.
Malaysia katanya kekal berpegang kepada prinsip melindungi hak kumpulan minoriti berbanding membenarkan kebebasan media hanya untuk kematangan demokrasi.
“Adakah negara ini perlu menerima perkembangan perkauman dan fasisme semata-mata hanya untuk kebebasan media. Sudah tentu kita dikritik, malah di sini ada wartawan Journalist Without Border dan saya tidak kisah, penilaian kita jatuh sekali pun.
Kerana di fikiran saya adalah lebih penting untuk menyelamatkan negara, melindungi hak majoriti dan hak minoriti berbanding mendapat pengiktirafan yang tinggi,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, di sini, hari ini.
HAWANA tahun ini berlangsung di Sarawak dan mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.
Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga kepada tempat ke-107 berbanding ke-73 tahun lepas dengan markah 52.07 mata.
Menurut Perdana Menteri, beliau sendiri lama menjadi pembangkang dan menjelajah beberapa negara untuk menyatakan sokongan terhadap kebebasan media.
“Namun, saya tidak mahu berkompromi dengan isu ini dan disebabkan itu perlu ada garis di mana kebebasan bersuara harus ada,” katanya.
Sambil mengakui kebebasan media penting kerana tanpanya demokrasi tidak akan menjadi matang dan karya-karya penerbitan hebat tidak dapat dicernakan dengan lebih baik namun ia terdapat batasan.
“Apakah batasannya, adakah kita mahu menggunakan peluang itu hanya untuk memecahkan atau mewujudkan bibit-bibit pemusnahan dan meruntuhkan negara sendiri.
“Sebab itu kita perlu ada tugas dan tekad politik walaupun di Barat, ia tidak disenangi,” katanya.
Menyentuh isu perkauman, beliau menegaskan ia tidak seharusnya menjadi salah satu permainan politik, termasuk mengeluarkan dakyah atau fatwa yang mengelirukan.
Anwar juga mengingatkan bahawa isu 3R bukan untuk menakut-nakutkan semua pihak dan ia tidak boleh digunakan untuk tujuan menyinggung, memecah-belah, menghasut dan menghina.
“Kita menerima jika ada pandangan tertentu seperti sambutan Hari Gawai perlu dilakukan begini atau begitu. Atau kritikan terhadap pelaksanaan yang dilakukan oleh jabatan Islam seperti JAKIM.
“Tetapi jangan menggunakan hujah tertentu dan menyentuh isu-isu sensitif untuk dijadikan wacana,” katanya.
