KUCHING 27 Mei – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@Hawana pada tahun ini, sama seperti tahun lalu bagi membantu pengamal media yang ditimpa kesusahan.
Pada masa sama, Anwar turut meluluskan tambahan RM1 juta untuk pengamal media menjalani kursus dan latihan terutamanya dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kita minta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui Pusat Latihan Kecemerlangan bantu selaraskan beberapa program dan kegiatan untuk pengamal media,” katanya ketika berucap di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) di sini.
Turut hadir Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
HAWANA 2024 yang bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lalu dan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.
Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan bersempena dengan sambutan Hawana tahun lalu bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara selain mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
Sementara itu, James Alexander Ritchie atau lebih dikenali sebagai James Ritchie, 74 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.
Bermula sebagai wartawan kadet New Straits Times (NST) di ibu negara ketika berusia 23 tahun, beliau ‘mendaki’ puncak kerjaya dalam industri kewartawanan khususnya di Sarawak dengan menyandang beberapa jawatan media di negeri ini antaranya Wartawan NST Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).
Jawatan lain termasuk penulis khas Sarawak Tribune pada 2022, Penasihat Editorial dan Pengarah Eksekutif Eastern Times (2006) dan Pengarah Eksekutif New Sarawak Tribune (2010).
Jasanya sebagai individu penting dalam dunia penulisan dan kewartawanan melayakkan beliau menerima pengiktirafan, antaranya menerusi Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.
Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) yang diterima oleh Presidennya, Ronnie Teo, sebagai tanda penghargaan buat persatuan berkenaan.
Anugerah HAWANA bertujuan mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.
Anugerah sulung HAWANA diberi kepada Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 2018, diikuti Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) (2022) dan Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid (2023).
Sementara itu Abang Johari menyampaikan Anugerah Apresiasi Premier Sarawak sempena HAWANA 2024 kepada tujuh penerima iaitu jurugambar Star Media Group, Zulazhar Sheblee; bekas Ketua Pemberita RTM Sarawak, Alice Wee Siok Lian; Editor Bersekutu New Sarawak Tribune, M Rajah; dan Wartawan Kanan Malay Mail, Sulok Tawie.
Penerima lain terdiri daripada bekas Editor Eksekutif Utusan Sarawak, Willian Cornelius Chan Khun Neng; bekas pengurus besar Chinese Daily News, Johnny Loh Kee Kong; dan Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh.
Nnnn
