KUALA LUMPUR 26 Mei – Kemelut kepemimpinan PKR Sabah berakhir apabila Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) melantik Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Mustapha Sakmud sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) negeri itu.
Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud itu menggantikan Dr Sangkar Rasam yang dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Sebelum ini, 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.
Selain Mustapha, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam yang juga Ketua Cabang PKR Sepanggar, Peto Galim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Sabah.
Mesyuarat MPP juga memutuskan pelantikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh sebagai Pengerusi MPN Pahang.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini juga memaklumkan ahli MPP yang tersenarai dalam penyusunan semula iaitu Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh (sebagai Pengerusi MPN Johor) dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin ( Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan).
Roland Engan pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Sarawak, Ahmad Nazri Mohd Yusof (Terengganu), Mohamad Suparadi Md Noor (Kelantan) manakala Amirudin Shari dan Aminudin Harun masing-masing kekal sebagai Pengerusi MPN Selangor serta Negeri Sembilan.
Fahmi berkata, selain Dr Sangkar, dua lagi Ahli MPP baharu ialah, Azan Ismail dan Datuk Dr Roslan Hussin
Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan isu kemanusiaan dan peperangan di Gaza serta ketegasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan partinya dalam usaha perdamaian di kawasan bergolak itu.
Fahmi berkata, Anwar, yang juga Presiden PKR, turut memberi penerangan mengenai isu semasa termasuk Perutusan Negara dan dasar kerajaan selain menyeru agar anggota serta penyokong parti menggembleng tenaga dan idea bagi memacu agenda Kerajaan MADANI.
“MPP juga telah membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap tidak lama lagi,” katanya.
Nnn
