MIC luah rasa tidak puas hati

KUALA LUMPUR 3 Ogos – MIC mendedahkan ‘layanan Barisan Nasional (BN)’ terhadap parti itu yang mendorong kepada keputusan parti untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Presiden MIC, SA Vigneswaran semasa mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini juga menyifatkan MIC seperti berada di ‘persimpangan jalan’ dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Beberapa bulan ini, kedudukan MIC seakan berada di persimpangan jalan dan saya sememangnya tidak senang dengan perkara ini. Memang ada perbincangan dalam BN, tetapi ia tidak mencerminkan semangat yang kami harapkan.

“Kerusi (pilihan raya) yang kami mahu juga tidak dipenuhi, ” katanya pada pertemuan yang turut dihadiri Presiden UMNO,  Ahmad Zahid Hamidi dan kira-kira 500 pemimpin MIC dari seluruh negara itu.

Katanya lagi, MIC sudah lama bersama BN dan selama ini akur dengan keputusan yang dibuat secara bersama dalam gabungan itu.

“Kami tetap bersama BN selama ini dan hanya mengikut ‘saudara’ kami. Kami hanya mahu satu jawatan menteri dan di negeri tertentu, mungkin ada satu jawatan Exco, tapi kami akur dengan keputusan yang sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata, bagi PRN, parti itu hanya mahu meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, malah sudah berbincang dengan Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

“UMNO adalah parti yang besar, mereka sendiri ‘bertarung’ untuk kerusi yang ingin kami tandingi. Justeru, semangat untuk menyerahkan kerusi (DUN) Jeram Padang kepada UMNO adalah keputusan yang sangat besar,” katanya.

Vigneswaran turut mengakui ada banyak mahu diluahkan kepada Perdana Menteri, namun tidak sesuai kerana Ahmad Zahid juga ada pada majlis itu.

Bagaimanapun beliau secara terbuka meminta Presiden UMNO itu tidak ‘menganaktirikan’ MIC yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan.

Bercakap kepada media kemudiannya, Vigneswaran berkata, beliau percaya Perdana Menteri akan menyelesaikan isu berkaitan parti itu dan masalah membelenggu masyarakat India di negara ini, terutama isu miskin tegar.

Katanya, perjumpaan itu memberi isyarat jelas bahawa MIC bukan saja akan menyokong calon BN pada PRN 12 Ogos nanti, tetapi juga sokongan untuk calon PH.

“Kami akan turun padang membantu calon BN-PH terutama di kawasan ramai pengundi India,” katanya yang turut menjelaskan parti itu yakin dengan kepemimpinan Anwar dalam Kerajaan Perpaduan dan tidak timbul isu tawaran ‘jawatan’ dalam kerajaan bagi mendapatkan sokongan MIC.

“Kami parti yang bermaruah, beri sedikit rasa hormat. Tawaran jawatan tidak menjadi bahan ‘ugutan’ untuk kami sokong kerajaan atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment