45,000 minoriti Rohingya larikan diri

GENEVA: Pertempuran yang semakin memuncak di negeri Rakhine, Myanmar yang dilanda konflik, memaksa kira-kira 45,000 minoriti Rohingya melarikan diri, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Elizabeth Throssell.

Beliau berkata, mereka bertindak nekad melarikan diri susulan dakwaan pembunuhan dan pembakaran harta benda dilakukan, sama ada oleh Tentera Arakan (AA) atau tentera junta Myanmar yang memerintah.

“Puluhan ribu orang awam telah kehilangan tempat tinggal dalam beberapa hari kebelakangan ini akibat pertempuran di perbandaran Buthidaung dan Maungdaw.

“Dianggarkan 45,000 Rohingya dilaporkan telah melarikan diri ke kawasan di Sungai Naf berhampiran sempadan Bangladesh, mencari perlindungan,” katanya di Geneva.

Pertempuran menggegarkan Rakhine sejak pemberontak AA menyerang tentera junta yang memerintah pada November, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya berkuatkuasa sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

AA berkata ia memperjuangkan lebih autonomi untuk penduduk etnik Rakhine di negeri itu, yang turut menempatkan kira-kira 600,000 anggota minoriti Muslim Rohingya yang teraniaya.

Menurut Throssell, lebih sejuta Rohingya sudah berada di Bangladesh, setelah melarikan diri dari malapetaka pembersihan etnik.

Sementara Ketua pejabat hak asasi manusia PBB di Myanmar, James Rodehaver, menyifatkan keadaan di Rakhine sebagai mengerikan sehingga mendorong ramai orang melarikan diri.

Beliau berkata pasukannya menerima testimoni dan melihat imej satelit, video dalam talian dan gambar yang menunjukkan bandar Buthidaung sebahagian besarnya dibakar.

“Kami menerima maklumat yang menunjukkan pembakaran bermula pada 17 Mei… dua hari selepas tentera berundur dari bandar itu… dan AA mendakwa menguasai sepenuhnya kampung itu,” katanya.

Katanya, pejabat PBB masih berusaha untuk mengesahkan maklumat itu, untuk menentukan dengan jelas ‘siapakah pelakunya’.

Related posts

Leave a Comment