‘Pas Kedah tengah kuat’

PADANG TERAP 14 Ogos – Pas Kedah yakin memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, berbanding 15 yang dimenangi pada PRU lalu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keyakinan menambah jumlah kerusi itu berdasarkan kedudukan Pas di negeri ini yang dilihat semakin kukuh dan kuat.

“Saya tambah jadi 22 (kerusi boleh dimenangi PAS Kedah), paling kurang 22 (daripada 15 kerusi dimenangi sebelum ini). Pada asasnya, Pas tengah kuat di Kedah, harimau (UMNO) yang kena tembak sedaih (sekali) rebah, lepas itu nak bangkit (bangun), dia tak sekuat dulu kalau dia nak lawanlah.

Kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita tu, dia nak lawan, saya rasa dia tak segagah dulu. Ada pelurulah dalam badan dia, kaki dia pun pecah tiga empat dah,” katanya yang juga Menteri Besar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Kedah yang disempurnakan Mursyidul Am, Hashim Jasin dan turut dihadiri Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya di Naka, dekat sini, malam tadi.

Pas kini menyandang 15 daripada 36 kerusi DUN dan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi, manakala UMNO hanya menang dua kerusi pada PRU-14.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 13 kerusi DUN, masing-masing lima milik PKR, diikuti empat disandang Parti Amanah Negara (Amanah), dua milik DAP dan dua disandang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Kedah, berkata pihaknya tidak pernah mengkhianati UMNO dan masih memberi ruang kepada parti itu walaupun terdapat kepemimpinan UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRU-15.

“Kita tak buat apa-apa yang boleh sebabkan Pas dan UMNO di Kedah bergaduh, berkelahi. Apa kita ucap di Johor (semasa kempen pilihan raya negeri), itu dalam konteks negeri Johor. Malam ini saya sebutkan betapa baiknya Pas dalam (menjaga) hubungan dengan Barisan Nasional (BN), dengan UMNO.

“Ini kerana kita ada disiplin. Contohnya kita masih minta UMNO beri nama calon mereka untuk gantikan Penyelaras DUN Kubang Rotan, Hashim Jahaya yang meninggal dunia (pada 7 Mei lalu).

“Mereka berikan nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid untuk ganti, sedangkan kita boleh ganti dengan orang Pas atau Bersatu, tapi itulah kesetiaan kita kepada setiap kawan, ini yang Islam ajar kita.

“Sekali kita diarah oleh pimpinan untuk berada di atas landasan ini, tempat inilah kita tunggu. Saya tak ada khianat siapa-siapa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment