MPI terima 488 penyertaan HKM 2023

PETALING JAYA 23 Mei – Malaysian Press Institute (MPI) menerima 488 penyertaan bagi anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2023 sempena Malam Kewartawanan Malaysia 2024 yang akan berlangsung 7 Jun ini.

Presiden MPI, Yong Soo Heong, berkata bilangan penyertaan untuk 2023 meningkat 21 peratus berbanding 386 pada tahun sebelumnya mahakala jumlah penyertaan itu adalah tertinggi sejak diperkenalkan pada 1980.

“Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan, diikuti Kewartawanan Foto Terbaik (44 penyertaan) dan Laporan Berita Terbaik (37 penyertaan).

Senarai nama pemenang akan diumumkan pada 7 Jun nanti pada Malam Wartawan Malaysia 2024,” katanya pada forum terbuka MPI bersama penaja HKM di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI,  Mustapa Omar; Timbalan Presiden MPI, Farrah Naz Karim; Naib Presiden, Brian Martin serta Ahli Majlis MPI iaitu Zamri Rambli, Choo Joon Kian dan Dr Diana Dominic.

Dalam pada itu, Yong berkata MPI menerima sumbangan berjumlah RM1,066,500 daripada pelbagai pihak termasuk Petronas bagi penganjuran Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia.

Penaja utama HKM sejak 1994, Petronas menyumbang RM450,000 mulai tahun ini berbanding RM300,000 sebelum ini dan jumlah itu adalah sebahagian daripada tajaan RM1,350,000 untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Katanya, peningkatan jumlah sumbangan diterima MPI tahun ini memberikan maksud jelas bahawa peranan wartawan dalam menghasilkan laporan berkualiti tinggi dan bertanggungjawab mendapat sokongan pelbagai pihak.

Petronas juga bersetuju memperbaharui kontrak penajaan HKM untuk tempoh tiga tahun lagi, selain meningkatkan jumlah penajaan tahunan kepada RM450,000.

Setakat ini, sejumlah 52 organisasi korporat, agensi kerajaan, kerajaan negeri, organisasi media dan institusi pengajian tinggi menyumbang bagi menjayakan Malam Kewartawanan Malaysia 2024.

Sementara itu, Mustapa berkata peningkatan penyertaan didorong pengenalan enam kategori baharu iaitu Kewartawanan ESG Terbaik, Bicarawara Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.

Sebanyak 55 organisasi media dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak mengemukakan penyertaan masing-masing dalam 23 kategori anugerah dipertandingkan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment