DOHA: Kumpulan Hamas mengalu-alukan keputusan Ireland, Norway dan Sepanyol untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai “langkah penting” dan menggesa negara lain di seluruh dunia untuk mengikutinya.
Hamas dalam satu kenyataan menganggap keputusan itu satu langkah penting ke arah mengesahkan hak ke atas tanah mereka.
Hari ini, Norway, Ireland dan Sepanyol mengumumkan mereka akan mengiktiraf negara Palestin, yang mendorong Israel untuk segera memanggil utusannya di negara berkenaan.
Pemimpin Ireland berkata negaranya akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi tidak menyatakan masa, manakala pemimpin Norway dan Sepanyol berkata negara mereka akan berbuat demikian mulai 28 Mei.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman itu di Oslo, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.
Susulan itu Israel segera mengumumkan bahawa ia memanggil semula utusannya ke Ireland dan Norway untuk “perundingan segera”.
“Hari ini, saya menghantar mesej tajam ke Ireland dan Norway: Israel tidak akan meneruskan perkara ini secara senyap,” kata Menteri Luar Israel Katz dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beliau merancang untuk melakukan perkara yang sama dengan Duta Sepanyol.
Kementerian Luar Israel sebelum ini menyiarkan mesej video yang ditujukan kepada Ireland di platform media sosial X memberi amaran bahawa “mengiktiraf negara Palestin berisiko menjadikan anda “budak” di tangan Iran dan Hamas”, sambil menambah langkah itu “hanya akan mencetuskan ekstremisme dan ketidakstabilan”.
Israel berkata, rancangan untuk pengiktirafan Palestin adalah “hadiah untuk keganasan” yang akan mengurangkan peluang penyelesaian rundingan untuk perang di Gaza, yang bermula pada 7 Oktober apabila Hamas menyerbu ke selatan Israel.
Menurut Pihak Berkuasa Palestin, 142 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Negara Palestin.
Mereka terdiri daripada negara Asia Barat, Afrika namun bukan Amerika Syarikat (AS), Kanada dan kebanyakannya adalah Eropah barat, Australia, Jepun dan Korea Selatan.
April lalu, AS menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB untuk menghalang usaha Palestin menjadi negara anggota penuh PBB.
Pada 15 November 1988, ketika penentangan pertama Palestin, pemimpin Palestin Yasser Arafat mengisytiharkan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.
Beliau membuat pengumuman itu di Algiers dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin yang menerima pakai penyelesaian dua negara sebagai matlamat, dengan negara Israel dan Palestin yang merdeka wujud bersebelahan.
Beberapa minit kemudian, Algeria menjadi negara pertama yang mengiktiraf negara Palestin yang merdeka secara rasmi.
Beberapa minggu kemudian, berpuluh-puluh negara lain, termasuk sebahagian besar dunia termasuk negara Arab, India, Turkiye, sebahagian besar Afrika dan beberapa negara Eropah tengah dan timur mengikuti pengiktirafan berkenaan.
Gelombang pengiktirafan seterusnya datang pada akhir 2010 dan awal 2011 ketika krisis dalam proses damai Asia Barat.
Sebilangan besar negara Amerika Selatan termasuk Argentina, Brazil dan Chile menjawab seruan Palestin untuk menyokong tuntutan kenegaraan mereka.
Nnnnn
