PCS pimpinan Anifah anggota kelapan GRS

KOTA KINABALU 22 Mei –  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerima anggota kelapan iaitu Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas Menteri Luar, Anifah Aman menganggotai gabungan yang mengetuai kerajaan negeri itu.

Setiausaha Agung GRS,  Masidi Manjun, mengumumkan kemasukan PCS itu melalui satu kenyataan media hari ini

Sebelum ini tujuh parti yang sedia ada ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

“Dengan sukacitanya diumumkan bahawa Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai Tan Sri Anifah Aman membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai sebagai komponen baharu dalam GRS.

Semua Presiden parti (komponen GRS) secara sebulat suara menerima PCS menjadi komponen GRS. Penyertaan PCS, sebuah parti tempatan adalah satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah.

“Kami percaya bahawa dengan kerjasama yang lebih erat, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan negeri Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.

Selari dengan prinsip Sabah First atau Sabah Diutamakan, Masidi berkata, GRS kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran Sabah.

“Kami berharap rakyat Sabah memberi sokongan padu kepada GRS dalam usaha kita untuk membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” katanya.

GRS diwujudkan secara tidak rasmi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September 2020 sebelum didaftarkan pada Februari 2022 dan diterima secara rasmi sebagai gabungan parti politik yang baharu pada 11 Mac 2022.

Sejak itu, GRS mengetuai kerajaan Sabah dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) sehingga Januari 2023 sebelum diganti Pakatan Harapan (PH) Sabah sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Anifah dalam kenyataannya berkata, sebagai sebuah parti politik tempatan, PCS mempunyai ‘DNA’ untuk memperjuangkan hak Sabah dan segala kepentingan yang terbaik untuk rakyat dan negeri ini.

Katanya, PCS berkongsi teras ‘Sabah First’ yang dibawa GRS sebagai pendekatan serampang dua mata yang meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai keutamaan.

Beliau berkata, PCS juga berkongsi komitmen GRS untuk mengukuhkan usaha Sabah mengangkat agenda tempatan di peringkat nasional, wilayah dan antarabangsa.

Sejak mengambil alih PCS kira-kira empat tahun lalu, katanya parti yang disertai semua lapisan masyarakat itu berkembang dari segi kekuatan, kebijaksanaan dan kematangan yang didorong rasa cinta yang tulen terhadap Sabah.

“Saya memberi jaminan bahawa PCS akan bekerja keras memastikan GRS akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik yang mencerminkan identiti rakyat Sabah dari semua etnik dan kepercayaan dan juga satu bentuk kuasa yang mereka boleh meletakkan kepercayaan dan harapan untuk generasi akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment